Maklumat mengenai ubat-ubatan yang biasa diambil seperti kegunaan, cara pengambilan dan kesan-kesan sampingan sekiranya ada.

Powered by Blogger.

Search This Blog

Faedah Dan Kesan Sampingan Ubat Statin

Faedah Dan Kesan Sampingan Ubat Statin

Faedah Dan Kesan Sampingan Ubat Statin 

Di Malaysia, golongan warga emas ditakrifkan sebagai penduduk yang berumur 60 tahun ke atas. Oleh yang demikian, mereka tergolong dalam kelompok yang paling berisiko untuk mendapat serangan penyakit yang memerlukan rawatan jangkamasa panjang. Selain daripada penyakit darah tinggi dan kencing manis, peningkatan paras kolesterol dalam darah juga merupakan penyakit kronik yang biasa dihidapi oleh warga emas pada masa kini.

Ubat yang biasanya dipreskib oleh doktor bagi merawat masalah ini ialah statin. Namun begitu, sebelum terapi ubat diberikan kepada pesakit, doktor akan menasihatkan pesakit untuk mengamalkan cara hidup yang lebih sihat, antaranya termasuklah pengambilan makanan yang seimbang, mengurangkan berat badan, melakukan aktiviti fizikal dan senaman, tidak merokok dan tidak mengambil minuman beralkohol.

Jenis-jenis Statin
Statin adalah ubat yang dipreskripsikan oleh doktor untuk menurunkan paras kolesterol dalam darah. Ia bertindak secara menghalang enzim yang menghasilkan kolesterol. Formulasi statin yang terdapat di pasaran antaranya termasuklah :


Nama ubat
Dos
Lovastatin20 – 80mg
Pravastatin20 – 40mg
Simvastatin20 – 80mg
Atorvastatin10 – 80mg
Fluvastatin20 – 80mg
Rosuvastatin10 – 40mg


Faedah ubat statin dalam kalangan warga emas

Ubat statin bertindak dengan mengurangkan penghasilan kolesterol ‘jahat’ yang juga dikenali sebagai “low density lipoprotein (LDL)” dan meningkatkan kolesterol ‘baik’ iaitu “high density lipoprotein (HDL) di dalam darah. Jika tidak dirawat, kolesterol tinggi boleh menyumbang kepada pembentukan plak dalam arteri dan menyebabkan atherosklerosis. Keadaan ini adalah serius dan boleh menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa, antaranya termasuklah sakit dada (angina), serangan jantung atau angin ahmar (stroke).

Ia juga dapat mengelakkan prosedur untuk memperbaiki pengaliran darah ke jantung, umpamanya “angioplasty” belon ataupun pembedahan “bypass” jantung. Walaubagaimanapun, pemulaan pengambilan ubat statin oleh seseorang pesakit ditentukan oleh doktor berdasarkan tahap kesihatan serta paras kolesterol di dalam darah pesakit.

Kesan sampingan ubat statin dalam kalangan warga emas
Seperti kebanyakan ubat lain, ubat statin juga boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan. Kesan sampingan yang biasa dialami oleh pesakit, antaranya adalah sakit kepala, sembelit, gatal dan keletihan yang biasanya akan reda setelah tubuh menyesuaikan diri. Pesakit juga boleh mengalami peningkatan enzim hati yang disebabkan oleh pengambilan ubat statin dengan dos yang tinggi. Oleh itu, pesakit perlu menjalani ujian makmal secara berkala bagi memastikan fungsi hati berada dalam keadaan yang baik. Jika ujian makmal menunjukkan terdapat perubahan dalam fungsi hati, pertukaran dos atau ubat perlu dilakukan oleh doktor yang merawat pesakit tersebut.

Selain itu pesakit juga akan mengalami rasa sakit, keletihan atau lemah otot. Kesakitan pada otot boleh menjadi kesakitan yang ringan atau teruk sehingga mengganggu aktiviti harian. Sebagai contoh, pesakit mungkin mengalami rasa sakit ketika menaiki tangga atau berjalan kaki.

Jarang sekali kita dengar kesan sampingan ubat statin yang boleh mengancam nyawa akibat kerosakan otot seperti rhabdomyolysis yang menyebabkan kerosakan hati, kegagalan fungsi buah pinggang dan kematian. Rhabdomyolisis ini boleh berlaku apabila pesakit mengambil ubat statin dengan kombinasi ubat-ubat tertentu atau pesakit mengambil ubat statin dengan dos yang tinggi.

Pengurusan kesan sampingan
Hubungi doktor atau ahli farmasi dengan segera sekiranya mengalami sakit otot, otot terasa sakit apabila disentuh atau lemah otot. Ini kerana walaupun jarang berlaku, namun masalah otot pernah menjadi serius, seperti kemerosotan otot yang mengakibatkan kerosakan ginjal buah pinggang lalu membawa maut. Risiko berlakunya kemerosotan otot ini lebih besar bagi pesakit yang mengambil ubat statin dalam dos yang tinggi serta dikalangan pesakit warga emas (berusia 60 tahun ke atas) yang mengambil ubat statin, pesakit wanita, pesakit yang mempunyai masalah fungsi buah pinggang dan pesakit yang menghidapi masalah tiroid.

Selalulah berjumpa doktor untuk memeriksa paras kolesterol dalam darah dan untuk mengesan kesan sampingan. Doktor harus melakukan ujian darah bagi pemeriksaan fungsi hati seseorang pesakit sebelum pesakit mula mengambil ubat statin dan jika pesakit mengalami sebarang simptom masalah hati semasa pengambilan ubat statin.

Kesan sampingan lain juga mungkin boleh berlaku. Oleh itu pesakit perlu memaklumkan kepada doktor atau ahli farmasi sekiranya mengalami gejala yang luarbiasa dan berlarutan selepas mengambil ubat statin.

Maklumat khas
Ubat statin hendaklah diambil pada waktu malam. Sekiranya terlupa mengambil ubat pada waktu yang sepatutnya, abaikan dos tersebut dan jangan gandakan dos. Ubat statin ini hendaklah diambil seperti yang diarahkan oleh doktor dan jangan berhentikan pengambilannya tanpa merujuk kepada doktor terlebih dahulu.

Keberkesanan pengambilan ubat statin adalah berbeza bagi setiap individu. Kepatuhan dalam pengambilan ubat ini amat penting bagi mencapai sasaran rawatan. Selain daripada pengambilan ubat statin, pesakit juga perlu mengamalkan perkara-perkara berikut bagi meningkatkan keberkesanan rawatan:

Mengambil makananan yang seimbang dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Kerap melakukan senaman
Berhenti merokok
Mengurangkan dan menghentikan pengambilan alkohol
Kesan Sampingan Ubat Penahan Sakit - Manfaat Dan Risiko

Kesan Sampingan Ubat Penahan Sakit - Manfaat Dan Risiko

Apa maksud ubat penahan sakit?

Ubat penahan sakit atau dikenali sebagai analgesik adalah ubat yang digunakan untuk melegakan kesakitan. Terdapat pelbagai jenis analgesik yang boleh diperolehi melalui preskripsi atau bukan preskripsi dalam bentuk dos seperti tablet, kapsul, injeksi, suppository atau transdermal patch. Jenis-jenis ubat analgesik merangkumi paracetamol (juga dikenali sebagai acetaminophen; biasa dipanggil Panadol (jenama produk) di Malaysia), non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) dan opioid.

Kelas ubat penahan sakit


Paracetamol boleh diperolehi tanpa preskripsi doktor. Secara umumnya ia digunakan untuk merawat demam and kesakitan ringan hingga sederhana. Ia tidak mempunyai aktiviti anti-radang, dengan itu tidak mempunyai kesan dalam melegakan bengkak sendi, simptom biasa dalam penyakit artritis.

NSAIDs ialah satu kelas ubat yang mempunyai kesan anti-radang dan penurunan suhu badan selain kesan analgesik (melegakan kesakitan). Ibuprofen, indomethacin, naproxen, diclofenac, aspirin, ketorolac, mefenamic acid, ketoprofen, meloxicam, celecoxib and etoricoxib adalah contoh-contoh ubat NSAIDs. Walaupun perbezaan dalam aktiviti anti-radang antara NSAIDs adalah kecil, namun terdapat perbezaan dalam toleran dan tindakbalas individu terhadap ubat-ubatan tersebut. Kelegaan pada kesakitan bermula tidak lama selepas pengambilan dos pertama dan kesan analgesik penuh biasanya diperolehi dalam masa seminggu, manakala kesan anti-radang mungkin tidak dapat dirasai sehingga 3 minggu

Opioid adalah satu lagi kelas ubat yang digunakan untuk melegakan kesakitan sederhana hingga teruk. Sejak lebih kurang 1500 SM, opium tulen ditanam dari benih buah Papaver somniferum (popi). Opiates, seperti heroin, codeine, atau morphine adalah bahan terbitan semulajadi alkaloid ini. Opioid ialah versi sintetik opiate dan mempunyai kesan perubatan yang sama dengan opiate. Contoh-contoh opioid adalah fentanyl, pethidine, dihydrocodeine, oxycodone, methadone, tramadol dan lain-lain.

Manfaat berbanding risiko

Paracetamol
Reaksi alahan ialah kesan sampingan biasa bagi ubat analgesik. Bagi paracetamol, kebanyakan reaksi yang dilaporkan adalah kesan sampingan ringan seperti ruam, kegatalan kulit, sesak nafas, dan bengkak di bahagian muka. Reaksi alahan yang serius untuk ubat ini jarang dilaporkan, tetapi apabila ia berlaku, hentikan pengambilan ubat dan dapatkan rawatan di hospital dengan segera adalah penting. Secara umumnya, paracetamol adalah selamat digunakan apabila diambil dengan dos yang betul. Kecederaan hati dan buah pinggang yang serius sehingga memerlukan pemindahan organ atau menyebabkan kematian boleh terjadi sekiranya dos berlebihan atau penyalahgunaan ubat berlaku. Risiko ini meningkat dengan pengambilan minuman beralkohol secara kerap.

NSAIDs
NSAIDs berkesan melegakan kesakitan muskuloskeletal dan sendi yang ringan hingga sederhana contohnya bagi penyakit gout, artritis rheumatoid dan osteoartritis. Kegunaan lain termasuk melegakan kesakitan selepas pembedahan, sakit senggugut, sakit gigi dan lain-lain.

Contoh reaksi alahan adalah seperti ruam, kegatalan kulit, kesukaran bernafas, dan bengkak di bahagian muka. NSAIDs boleh menyebabkan pendarahan pada saluran gastrousus. Risiko pendarahan ini adalah rendah bagi pengguna yang jarang mengambil NSAIDs, dan tinggi bagi yang mengambilnya secara kerap atau setiap hari dalam dos yang tinggi. Risiko juga meningkat terutamanya bagi golongan yang berumur lebih daripada 65 tahun, mempunyai sejarah ulser perut, dan mengambil ubat cair darah dan/atau kortikosteroid, merokok dan mengambil minuman beralkohol.

Sesetengah individu berisiko tinggi mengalami kesan sampingan jantung dan buah pinggang, contohnya serangan jantung, penyakit darah tinggi dan kerosakan buah pinggang. Risiko ini meningkat dengan peningkatan dos dan tempoh penggunaan NSAIDs, dalam pengguna yang mempunyai sejarah penyakit arteri koronari, darah tinggi, kencing manis, tahap kolesterol tinggi, penyakit buah pinggang dan individu yang pernah mangalami strok. Walau bagaimanapun, aspirin tidak mempunyai kesan sampingan ini, malah ia adalah satu-satunya NSAID yang berupaya untuk mengurangkan risiko kejadian kardiovaskular dalam pesakit yang mempunyai penyakit kardiovaskular.

Opioid
Opioid biasanya dipreskrib untuk kesakitan dalam penyakit terminal (boleh membawa maut) ataupun sesetengah penyakit kronik bukan-kanser. Ia memainkan peranan penting dalam menangani kesakitan sederhana hingga teruk yang tidak dapat dikawal dengan rawatan alternatif dan ubat bukan-opioid.

Opioid adalah selamat dan berkesan apabila dos rendah diambil, tetapi boleh membawa maut jika diambil berlebihan atau tidak diambil mengikut arahan doktor. Kesan sampingan yang biasa dilaporkan adalah loya, muntah, sembelit, keghairahan, perubahan mood, ruam, dan mengantuk.

Tempoh pengambilan opioid yang panjang boleh mengakibatkan berlakunya pergantungan dan toleran kepada opioid. Apabila badan mulai bergantung kepada kesan opioid, pemberhentian pengambilan opiod secara mendadak akan menyebabkan gejala seperti menggigil, loya, berpeluh, dan cepat marah. Toleran dicirikan dengan keperluan untuk menambahkan dos dari masa ke masa untuk mencapai kesan kelegaan kesakitan yang sama. Pergantungan adalah tindak balas semula jadi tubuh terhadap opioid dan ia tidak membawa maksud yang sama dengan ketagihan. Ketagihan mempunyai ciri-ciri tingkah laku seperti penggunaan ubat tanpa kawalan dan kompulsif (perbuatan yang dilakukan berulangkali) serta mengambil secara berterusan tanpa mengira kesan kesan buruk yang akan dialami. Ini biasanya mengakibatkan pengambilan dos berlebihan yang boleh membawa maut di mana pesakit mungkin berhenti bernafas, tidak sedar diri, sawan dan mengalami ritma jantung tidak normal.

Nasihat kepada pengguna

Berhenti mengambil ubat serta-merta apabila mengalami kesan sampingan dan mendapatkan nasihat/rawatan daripada ahli profesional kesihatan.

Pastikan maklumat seperti ubat lain yang diambil bersama dan sejarah penyakit dimaklumkan kepada doktor sebelum mengambil ubat analgesik supaya pemilihan jenis ubat yang sesuai dapat ditentukan.
Rujuk ahli profesional kesihatan jika terdapat sebarang keraguan berkenaan ubat analgesik
Jangan menukar dos analgesik tanpa berbincang dahulu dengan doktor dan jangan berkongsi ubat analgesik yang anda ambil dengan orang lain kerana ia mungkin tidak sesuai digunakan oleh individu tersebut.

Paracetamol
Pengambilan dos berlebihan tidak akan memberikan kesan kelegaan kesakitan yang lebih baik malah boleh menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang yang serius. Dos maksimum untuk orang dewasa adalah 4g dalam 24 jam. Dos maksimum untuk kanak-kanak adalah lebih rendah berbanding orang dewasa, oleh itu pengguna dinasihatkan untuk sentiasa membaca label pada produk dan mengikuti arahan yang tertera pada label.

Terdapat juga produk kombinasi yang mengandungi paracetamol sebagai salah satu bahan aktif. Pengguna harus mengelakkan mengambil produk-produk berlainan yang mengandungi bahan aktif yang sama bagi mengurangkan risiko pengambilan ubat berlebihan secara tidak sengaja.

Pengambilan minuman beralkohol ? 3 sehari juga boleh meningkatkan risiko kerosakan hati.

NSAIDs
Selain daripada risiko yang dinyatakan di atas, tindak balas silang (cross-reaction) wujud di antara ubat-ubat di bawah kelas NSAIDs. Ini bermaksud seseorang itu mungkin alah kepada ubat NSAIDs yang lain jika beliau didapati alah pada salah satu ubat NSAID yang diambil.

Kejadian serangan asma atau menerukkan lagi keadaan asma akibat pengambilan NSAIDs adalah lebih tinggi dalam golongan pesakit asma berbanding populasi yang tidak mempunyai asma. Oleh itu, pesakit asma perlu berhati-hati ketika mengambil ubat dari kelas NSAIDs.

Elakkan mengambil lebih daripada satu jenis NSAIDs pada masa yang sama kerana ini meningkatkan risiko pendarahan pada saluran gastrousus. Sentiasa mengambil NSAIDs selepas makan untuk mengelakkan risiko yang sama.

Opioid
Elakkan memandu dan menggunakan alat atau mesin yang mungkin menyebabkan kecederaan memandangkan ia boleh mengakibatkan mengantuk dan keghairahan. Elakkan pengambilan serentak dengan minuman beralkohol, antihistamin, atau ubat-ubat lain yang juga boleh menyebabkan kesan mengantuk. Kesemua ubat-ubat ini memperlahankan pernafasan dan pengambilan serentak boleh membawa maut.

Sebarang sejarah penyalahgunaan dadah perlu dimaklumkan kepada ahli profesional kesihatan anda sebelum memulakan pengambilan ubat ini.

Ketagihan opioid jarang berlaku jika ia digunakan untuk tujuan perubatan. Peningkatan dos pada keadaan ini selalunya bermaksud penyakit bertambah teruk ataupun toleran berlaku, dan bukan bermakna ketagihan.

Pengguna harus sentiasa mengambil opioid mengikuti arahan doktor. Elakkan daripada menghancurkan tablet sustain-released kerana ia boleh menyebabkan pengambilan dos berlebihan.
Ubat Kencing Manis METFORMIN (GLUCOPHAGE)

Ubat Kencing Manis METFORMIN (GLUCOPHAGE)

Bagi anda yang mengidap penyakut kencing manis jenis 2, sudah tentu anda tahu apa itu ubat METFORMIN (GLUCOPHAGE). Metformin adalah nama generik ubat-ubatan preskripsi Glucophage, Glumetza dan Fortamet, digunakan untuk mengawal gula dalam darah di kalangan pesakit kencing manis jenis 2.

Kencing manis jenis 2 adalah penyakit yang berlaku apabila badan tidak menghasilkan atau menggunakan insulin seperti biasa, yang menyebabkan gula darah tinggi (glukosa). Metformin bertindak dengan mengurangkan jumlah gula daripada makanan dan mengurangkan jumlah glukosa hati anda.

Ia juga meningkatkan tindak balas badan anda terhadap insulin. Metformin adalah dalam kelas ubat yang dipanggil Biguanides. Ia kadang-kadang digunakan bersama-sama dengan diet dan ubat-ubatan lain untuk mengawal paras glukosa darah. Ia juga digunakan untuk mencegah perkembangan diabetes pada orang yang berisiko tinggi untuk merawat penyakit sindrom ovari polisistik (PCOS).

Metformin adalah ubat kencing manis yang membantu mengawal tahap gula dalam darah. Metformin digunakan oleh pesakit jenis 2 (tidak bergantung kepada insulin) kencing manis. Kadang-kadang metformin digunakan dalam kombinasi dengan insulin atau ubat-ubatan lain, tetapi ia bukan untuk merawat diabetes jenis 1. Metformin juga boleh digunakan untuk tujuan yang tidak disenaraikan di dalam panduan ubat ini. Metformin tidak sepatutnya diberikan kepada pesakit yang mengalami alahan terhadap ubat ini atau pesakit yang berada dalam keadaan ketoacidosis kencing manis (hubungi doktor untuk mendapatkan rawatan dengan insulin).

Pengambilan metformin perlu dihentikan buat sementara waktu jika pesakit perlu menjalani X-ray atau CT scan yang menggunakan pewarna yang disuntik ke dalam vena. Sebelum mengambil metformin, pastikan anda beritahu doktor jika anda mempunyai penyakit hati atau sejarah penyakit jantung. Sesetengah orang mengalami laktik asidosis semasa pengambilan metformin.

Simptom awal mungkin menjadi lebih teruk dari semasa ke semasa dan keadaan ini boleh membawa maut. Dapatkan bantuan perubatan kecemasan jika mempunyai gejala ringan seperti:

  • kesakitan atau kelemahan otot, 
  • rasa kebas atau sejuk di tangan dan kaki anda, 
  • kesukaran bernafas, 
  • sakit perut, 
  • loya dan muntah-muntah, 
  • kadar jantung yang perlahan atau tidak sekata, 
  • pening atau merasa sangat lemah/letih. S
Sebelum Mengambil Metformin
Sesetengah orang mengalami keadaan yang mengancam nyawa yang dipanggil laktik asidosis semasa pengambilan metformin. Laktik asidosis lebih cenderung untuk terjadi jika anda mempunyai penyakit hati, penyakit buah pinggang, kegagalan jantung kongestif, jangkitan yang teruk, dehidrasi atau pengambilan alkohol dalam kuantiti yang banyak. Metformin tidak dijangka akan memudaratkan bayi yang belum lahir.

Beritahu doktor anda jika anda mengandung atau merancang untuk hamil semasa rawatan. Tidak dapat diketahui sama ada metformin masuk ke dalam susu ibu atau jika ia boleh memudaratkan bayi yang disusui. Jangan mengambil metformin tanpa berbincang dengan doktor jika anda menyusu bayi. Metformin tidak sepatutnya diberikan kepada kanak-kanak yang berumur kurang daripada 10 tahun. Extended-release metformin (Glucophage XR) tidak harus diberikan kepada kanak-kanak yang berumur kurang daripada 17 tahun.

Bagaimana Cara Mengambil Metformin?
Ambil metformin seperti yang ditetapkan oleh doktor. Jangan ambil metformin dengan kadar yang sedikit atau berlebihan atau terlalu lama daripada yang disyorkan. Ikut arahan pada label preskripsi. Sekali-sekala doktor mungkin akan menukar dos untuk memastikan hasil yang terbaik.

Ambil metformin selepas makan melainkan jika doktor memberitahua anda sebaliknya. Terdapat juga metformin yang hanya diambil sekali sehari selepas makan malam. Ikut arahan doktor anda. 

Metformin adalah sebahagian daripada program yang lengkap dalam rawatan yang termasuk diet, senaman, dan kawalan berat badan. Adalah penting untuk menggunakan ubat ini secara teratur bagi mendapatkan manfaatnya. Pastikan preskripsi diisi semula sebelum kehabisan ubat sepenuhnya.

Bagi metformin jenama glucophage XR, jangan mengunyah, hancurkan atau patahkan pil tersebut. Telan kesemua pil. Patahkan pil boleh menyebabkan terlalu banyak dos yang akan dikeluarkan pada satu masa. Gula dalam darah perlu kerap diperiksa. Selain itu, anda mungkin perlu ujian darah yang lain. Berjumpa dengan doktor secara berkala. Periksa gula dalam darah dengan berhati-hati semasa sakit, mengalami tekanan, melancong, senaman lebih daripada biasa, mengambil alkohol atau melangkau waktu makan.

Perkara-perkara ini boleh menjejaskan paras gula dalam darah dan keperluan dos juga mungkin berubah. Jika jatuh sakit, demam/jangkitan, menjalani pembedahan atau kecemasan perubatan, doktor mungkin akan menghentikan pengambilan metformin anda untuk sementara waktu. Jika perlu, tanya doktor bagaimana untuk menyesuaikan dos metformin. Jangan ubah dos metformin atau jadual tanpa nasihat dari doktor.

Doktor akan menyarankan pengambilan vitamin B12 tambahan semasa mengambil metformin. Ambil jumlah vitamin B12 yang telah ditetapkan oleh doktor. Simpan metformin pada suhu bilik dan elakkan dari kelembapan, haba dan cahaya.

Dos
Dos dewasa bagi kencing manis jenis 2: Ambil 500 mg dua kali sehari (selepas makan pagi dan petang).

Extended-release: Ambil 500 hingga 2000 mg sekali sehari (selepas makan malam). Dos harian maksimum adalah 2500 mg.

Dos pelarasan untuk pesakit buah pinggang:
Metformin harus digunakan dengan berhati-hati di kalangan pesakit yang mempunyai penyakit buah pinggang. Metformin boleh menyebabkan laktik asidosis kepada pesakit-pesakit ini. Di samping itu, metformin harus digunakan dengan berhati-hati terhadap pesakit warga tua disebabkan oleh potensi fungsi buah pinggang berkurang.

Dos pelarasan untuk pesakit hati:
Metformin harus digunakan dengan berhati-hati di kalangan pesakit yang menghidap penyakit hati. Metformin boleh menyebabkan laktik asidosis dalam pesakit-pesakit ini.

Dos pelarasan: Dos boleh ditingkatkan sebanyak 500 mg setiap minggu atau 850 mg setiap minggu yang lain berdasarkan toleransi pesakit dan tindak balas.

Lain-lain: Dos maksimum harian yang disyorkan adalah 2.55 gram. Metformin boleh digunakan bersama dengan sulfonylureas.

Apa patut saya buat jika terlupa makan ubat?
Makan ubat sejurus anda ingat. Jika hampir dengan dos seterusnya, jangan makan dos yang tertinggal itu dan makan ubat seperti biasa untuk dos seterusnya. Jangan makan ubat lebih daripada yang diarahkan oleh doktor.

Apa harus saya buat jika termakan lebih?
Pergi ke kelinik atau hospital berhampiran jika anda merasakan terlebih dos. Terlebih dos metformin boleh menyebabkan laktik asidosis.

Dapatkan bantuan perubatan kecemasan jika anda mempunyai sebarang tanda-tanda laktik asidosis seperti:
1. Keletihan. 
2. Meningkatkan mengantuk. 
3. Kadar jantung yang perlahan. 
4. Rasa sejuk. 
5. Sakit otot. 
6. Sesak nafas. 
7. Sakit perut. 
8. Rasa ringan kepala. 
9. Pengsan.

Apa yang harus saya elakkan ketika mengambil metformin?
Elakkan mengambil alkohol. Ia boleh merendahkan tahap gula dalam darah dan meningkatkan risiko laktik asidosis ketika mengambil metformin.

Kesan Sampingan Metformin
Sila dapatkan rawatan kecemasan di hospital jika anda mengalami kesan alahan seperti:

  • keradangan dan gatal pada kulit, 
  • susah untuk bernafas, 
  • bengkak pada muka, 
  • bibir dan tekak. 

Ubat ini boleh menyebabkan laktik asidosis (pengumpulan asid laktik dalam badan, yang boleh membawa maut).

Laktik asidosis perlahan-lahan menjadi lebih teruk dari semasa ke semasa. Dapatkan bantuan perubatan KECEMASAN jika anda mempunyai gejala ringan laktik asidosis seperti:
1. Sakit otot atau keletihan.
2. Rasa kebas atau sejuk di tangan dan kaki.
3. Kesukaran bernafas.
4. Berasa pening kepala, letih atau sangat lemah.
5. Sakit perut, loya dan muntah-muntah.
6. Kadar jantung perlahan atau tidak sekata.

Hubungi doktor SEGERA jika anda mempunyai apa-apa kesan sampingan yang serius yang lain seperti:
1. Berasa sesak nafas walaupun dengan melakukan senaman ringan.
2. Bengkak atau kenaikan berat badan yang mendadak.
3. Demam, menggigil, sakit badan dan tanda-tanda selesema.

Kesan sampingan metformin kurang serius mungkin termasuk:
1. Sakit kepala atau sakit otot.
2. Keletihan.
3. Rasa loya, muntah-muntah, cirit-birit dan sakit perut.

Apakah ubat yang boleh mempengaruhi metformin?
Beritahu doktor jika anda sedang mengambil ubat lain terutamanya:
1. Furosemide (Lasix).
2. Nifedipine (Adalat, Procardia).
3. Cimetidine (Tagamet) atau ranitidine (Zantac).
4. Amiloride (Midamor) atau triamterene (Dyrenium).
5. Digoxin (Lanoxin).
6. Morfin (MS Terus, Kadian, Oramorph).
7. Procainamide (Procan, Pronestyl, Procanbid).
8. Quinidine (Quin-G) atau kuinina (Qualaquin).
9. Trimethoprim (Proloprim, Primsol, Bactrim, Cotrim, Septra).
10. Vancomycin (Vancocin, Lyphocin).

Anda mungkin lebih cenderung untuk mempunyai hiperglisemia (gula dalam darah tinggi) jika anda mengambil metformin dengan ubat-ubatan lain yang boleh meningkatkan gula dalam darah seperti:
1. Isoniazid.
2. Diuretik.
3. Steroid (prednisone dan lain-lain).
4. Jantung atau ubat tekanan darah (Cartia, Cardizem, Covera, Isoptin, Verelan, dan lain-lain).
5. Niasin (Advicor, Niaspan, Niacor, Simcor, Slo-Niacin, dan lain-lain).
6. Phenothiazines (Compazine dan lain-lain).
7. Ubat tiroid (Synthroid dan lain-lain).
8. Pil kawalan kelahiran dan hormon lain.
9. Pil diet atau ubat-ubatan untuk merawat asma, selsema atau alahan.

Sila beritahu doktor jika anda mengambil ubat lain termasuklah pil-pil vitamin dan lain-lain. Ini termasuk preskripsi, over-the-counter, vitamin dan herba. Jangan mengambil ubat-ubatan lain tanpa memberitahu doktor terlebih dahulu.
Sekitar Yang Dikatakan Interaksi Ubat Dengan Jus Delima

Sekitar Yang Dikatakan Interaksi Ubat Dengan Jus Delima

UBAT DENGAN JUS BUAH DELIMA

Di pasaran kini terdapat banyak minuman kesihatan berasaskan jus buah. Produk minuman kesihatan ini terdiri daripada sama ada satu pati jus buah atau gabungan beberapa pati jus buah-buahan. Kesemua produk kesihatan berasaskan jus buah ini membuat tuntutan mempunyai kandungan antioksida dan berupaya meningkatkan kesihatan tubuh badan.

Namun, adakah mengambil perahan jus buah atau mengambil produk minuman berasaskan pati jus buah ini boleh berinteraksi dengan ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor untuk tujuan rawatan penyakit?

Kita ambil contoh jus buah delima. Buah delima kerap dijadikan jus dalam produk-produk kesihatan dan masyarakat kita juga gemar untuk mengambil perahan jus buah delima ini secara asli.
BUAH DELIMA 
Pelbagai bahagian pada pokok delima diambil atau digunakan sebagai bahan untuk dijadikan ubat-ubatan. Namun yang paling kerap dan mengandungi khasiat yang ketara adalah jus daripada buah delima itu sendiri. 
Jus buah delima ini digunakan dalam rawatan pelbagai jenis penyakit, namun sehingga kini, tiada bukti saintifik dan klinikal yang cukup untuk membuktikan keberkesanan jus buah delima dalam tuntutan merawat penyakit[1].
BAGAIMANA JUS BUAH DELIMA BERFUNGSI.
Jus buah delima mengandungi pelbagai bahan kimia yang mungkin mempunyai khasiat antioksida. Bahan dalam jus buah delima juga boleh mempengaruhi enzim-enzim di hati yang terlibat dalam metabolisma ubat-ubatan dalam tubuh.

Beberapa penyelidikan awal (kajian saintifik) menunjukkan bahawa bahan kimia dalam jus buah delima mungkin melambatkan perkembangan aterosklerosis (pengerasan arteri) dan mungkin boleh melawan sel-sel kanser.

Namun sekali lagi diingatkan bahawa ia cuma kajian awal sahaja, masih belum cukup bukti kajian klinikal[2] untuk membuktikan tuntutan kesihatan ini.

INTERAKSI DENGAN UBAT YANG DIMETABOLISMAKAN DI HATI 
Jus buah delima boleh berinteraksi dengan enzim yang bertindak dalam proses metabolisma ubat dalam tubuh. Enzim-enzim ini adalah cytochrome P450 2C9, 2D6, 3A4. Jus buah delima boleh mengurangkan kadar metabolisma ubat dalam tubuh (berapa cepat ubat diuraikan).

Justeru minum jus buah delima dan mengambil beberapa jenis ubat-ubatan yang dimetabolismakan oleh enzim-enzim di atas boleh meningkatkan kesan dan kesan sampingan ubat-ubatan tersebut. Ubat-ubatan terlibat:
 1. Cytochrome P450 2C9 :
  Celecoxib
  fluvastatin
  Glipizide
  Ibuprofen
  Irbesartan
  Losartan
  phenytoin
  piroxicam
  tamoxifen
  tolbutamide
  torsemide
  Warfarin

 2. Cytochrome P450 2D6 :
  amitriptyline
  codeine
  desipramine
  flecainide
  fluoxetine
  ondansetron
  tramadol

 3. Cytochrome P450 3A4 :
  amlodipine
  diltiazem
  verapamil
  indinavir
  nelfinavir
  ritonavir
  saquinavir
  alfentanil
  fentanyl
  midazolam
  ondansetron
  propranolol

INTERAKSI DENGAN UBAT MENGAWAL TEKANAN DARAH TINGGI
Jus buah delima juga dikatakan boleh mengurangkan tekanan darah[3]. Oleh itu pengambilan jus buah delima bersama-sama dengan ubat atau kombinasi ubat-ubatan untuk mengawal tekanan darah tinggi mungkin[4] menyebabkan tekanan darah diturunkan ke paras yang lebih rendah dan menyebabkan rasa pening, penglihatan kabur, keletihan dan mudah pengsan.

Ubat-ubatan terlibat:
  captopril
  enalapril
  lisinopril
  ramipril
  losartan
  valsartan
  diltiazem
  Amlodipine
  hydrochlorothiazide
  furosemide

INTERAKSI DENGAN UBAT STATIN
Dalam jus delima terdapat bahan yang dikenali sebagai polifenol. Ia bertindak sebagai antioksida dan boleh menghalang pembentukan plak dengan menghalang pengoksidaan kolesterol LDL (kolesterol tidak baik) dan seterusnya menghalang perkembangan penyakit arteri koronari.

Walaubagaimana pun mengambil ubat statin bersama-sama jus buah delima boleh meningkatkan paras statin dalam darah. Ini kerana jus buah delima mengandungi bahan yang boleh menghalang enzim hati dalam proses metabolima ubat statin. Oleh itu, paras statin dalam darah akan meningkat dan boleh menyebabkan risiko kesan sampingan yang serius, termasuk keracunan. Dalam sebuah kajian[5] yang dilakukan mendapati bahawa jus buah delima digabungkan dengan rosuvastatin (ubat untuk mengawal kolesterol) boleh meningkatkan risiko rhabdomyolysis.

INTERAKSI DENGAN UBAT WARFARIN
Sehingga kini tiada laporan yang diterbitkan menyatakan dengan sahih terdapat interaksi antara jus buah delima dan warfarin. Penyelidikan yang dilakukan ke atas haiwan dan kajian in-vitro menunjukkan potensi untuk jus buah delima menghalang proses metabolisma yang melibatkan enzim cytochrome P450. 

Oleh itu, kesan ini secara teori[4]nya boleh disifatkan mempunyai interaksi dengan warfarin. Terdapat laporan kes berkaitan seorang wanita enggeris berusia 64 tahun yang telah dirawat dengan warfarin untuk recurrent deep vein thrombosis.

Beliau telah menerima dos warfarin yang agak stabil iaitu 4 mg/hari untuk beberapa bulan, dengan bacaan INRs (nisbah normal antarabangsa) yang stabil. Pada masa yang sama, pesakit telah mengambil jus buah delima 2-3 kali dalam seminggu.

Apabila pesakit tersebut berhenti minum jus buah delima, Bacaan INRs beliau menjadi subtherapeutic (paras tidak berkesan). Oleh itu doktor telah meningkatkan dos warfarin pesakit tersebut untuk meningkatkan semula bacaan INRs seterusnya mengekalkan fungsi warfarin untuk mencegah pembekuan darah. Walaupun tiada tindakan rechallenge dengan jus buah delima dilakukan dalam kes tersebut, berdasarkan teori[4] dan kajian kes tersebut mungkin ada potensi untuk interaksi berlaku antara jus buah delima dengan warfarin.

Oleh itu perlu berhati-hati dalam pengambilan jus buah delima ketika menerima rawatan dengan ubat warfarin.

NASIHAT 
Melihat kepada potensi bahan dalam jus buah delima berinteraksi dengan enzim hati yang terlibat dalam metabolisma ubat-ubatan, secara teorinya ada keberangkalian untuk interaksi ubat berlaku apabila diambil bersama-sama dengan jus buah delima.

Oleh itu, sebelum seseorang pesakit yang sedang menerima rawatan ubat-ubatan ingin mengambil jus buah delima, berbincanglah dahulu dengan ahli profesional kesihatan seperti ahli farmasi dan doktor agar nasihat yang betul dapat disampaikan berdasarkan status kesihatan terkini pesakit tersebut. 

Selain daripada itu oarang awam juga boleh membuat panggilan ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1 800 88 6722. Melalui perkhidmatan pusat panggilan NPCC ini orang awam boleh bertanyakan sebarang pertanyaan berkaitan ubat-ubatan dan mendapatkan informasi yang sahih daripada pegawai farmasi bertauliah

Sumber: http://medmythbusters.my/ubat-dengan-jus-delima/

Nota:

[1] Bukti kajian saintifik/klinikal khasiat jus delima. Link 113 kajian saintifik/klinikal khasiat jus delima

[2] Bukti kajian seperti di [1]

[3] i. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/23519910
    ii. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/27888156
   iii. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/25191556
   iv. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/15158307
    v. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/27748197

[4] Hanya teori penulis tanpa bukti saintifik

[5] Tidak disertakan dengan bukti.

Ulasan:

1. Sebahagian besar apa yang dipaparkan oleh penulis tidak disokong oleh fakta samaada bukti saintifik atau klinikal.

2. Terdapat beratus-ratus kajian kebaikan buah delima untuk kesihatan. Para [1] adalah link kepada 113 jurnal daripada beribu-ribu kajian yang telah dijalankan diserata dunia terhadap faedah kesihatan jus buah delima.

3. Daripada maklumat interaksi yang diterangkan, pengguna boleh membuat pilihan samaada mahu mengambil jus delima dan meninggalkan ubat, mengambil ubat dan meninggalkan jus delima atau mengambil jus delima dengan menjarakkan masa dengan pengambilan ubat.

4. Penulis artikel juga tidak mengulas kesan tidak baik ubat-ubat yang disenaraikan.

5. Untuk berlaku adil dan profesional kepada pembaca, diturunkankan juga maklumat penuh ubat-ubatan berkenaan.

6. Sila KLIK setiap jenama ubat untuk mengetahui kegunaan dan kesan sampingan ubat tersebut.

7. Setelah melihat semua aspek berkaitan Jus Delima dan Ubat-ubat tersenarai, terpulang kepada pembaca membuat penilaian.




Warfarin Ubat Cair Darah

Warfarin Ubat Cair Darah

Warfarin digunakan untuk menghalang pembentukan darah beku dan menghalang darah beku sedia ada daripada menjadi semakin besar. Ia dipreskripsikan oleh pegawai perubatan untuk pesakit yang mempunyai masalah atau risiko berlakunya pembekuan darah tidak normal. Antara indikasi warfarin ialah :

Atrial Fibrillation – degupan jantung tidak teratur
Heart valve replacement – gentian injap jantung
Deep vein thrombosis – darah beku di kaki
Pulmonary embolism – darah beku di paru-paru

Setiap indikasi di atas mempunyai julat selamat INR yang berbeza.
Bagaimana Warfarin Bertindak dalam Badan?
Dalam keadaan normal, darah manusia mengandungi vitamin K yang membantu pembekuan darah dan menghalang pendarahan daripada terus berlaku. Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu darah yang beku akan begerak ke organ-organ penting seperti jantung, paru-paru dan otak yang boleh menyebabkan salur darah tersumbat lalu mengakibatkan serangan jantung dan angin ahmar. Oleh itu penggunaan warfarin dapat membantu menghalang kesan vitamin K dalam darah seterusnya mengelakkan darah beku menjadi lebih besar.
Apakah International Normalised Ratio (INR)?
Bacaan INR menerangkan kadar berlakunya pembekuan darah dalam badan. Dos Warfarin bergantung kepada sasaran INR yang dikehendaki supaya berada dalam julat yang disyorkan. Kebiasaannya julat INR yang dikehendaki adalah antara 2.0 hingga 3.0. Ujian darah perlu dilakukan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh rawatan bagi memantau bacaan INR.
alt
MEMAHAMI INR DAN FUNGSINYA

INR yang dipantau sangat berkait rapat dengan diet dan ubat-ubatan lain yang diambil bersama warfarin. Pesakit perlu menjalani ujian darah bagi mengetahui bacaan INR. Nombor INR yang lebih tinggi menunjukkan masa yang lebih lama diperlukan untuk darah membeku. Ia menyebabkan risiko berdarah lebih tinggi kepada pesakit. Manakala nombor INR yang rendah membawa maksud sebaliknya. Cabaran kepada pesakit warfarin diakui kerana sekiranya INR yang dipantau melebihi julat selamat, pesakit perlu hadir dalam tempoh seminggu atau dua minggu untuk pemantauan lanjut melalui ujian darah. Ia melibatkan kos perjalanan ulang-alik ke fasiliti kesihatan dan juga masa yang diambil oleh ahli keluarga pesakit yang menemani ke hospital. Bagi pesakit yang didapati ujian INR nya terlampau tinggi, pesakit akan dimasukkan ke hospital dengan segera.

BUKU RAWATAN ANTIKOAGULASI (WARFARIN) SEBAGAI PANDUAN

Pesakit yang dipreskripsi dengan warfarin akan diberikan kaunseling lengkap sebelum dibenarkan pulang. Buku antikoagulan turut dibekalkan sebagai panduan pesakit dan keluarga sepanjang tempoh rawatan. Ia bukanlah untuk menyukarkan hidup pesakit tetapi bagi memberikan pengetahuan kepada pesakit bahawa pengambilan ubat ini tidak boleh diambil ringan. Risiko terbesar iaitu strok dan kematian adalah tinggi sekiranya pematuhan ubat ini tidak diikuti.

Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Bahagian Perkhidmatan Farmasi (BPF) telah mengeluarkan panduan lengkap kepada pesakit iaitu Buku Rawatan Antikoagulasi (Warfarin). Ia bertujuan bagi membantu pesakit memahami keperluan dalam memastikan dos warfarin berada dalam julat selamat.

Salinan buku panduan dengan saiz poket ini boleh dimuat turun melalui laman web rasmi BPF : http://www.pharmacy.gov.my

Oleh yang demikian, amat penting bagi pesakit untuk memahami fungsi ubat ini dan mengikuti panduan pemakanan yang diberikan oleh anggota kesihatan. Elakkan pengambilan produk kesihatan sewenang-wenangnya tanpa pengawasan pegawai perubatan atau pegawai farmasi kerana kosnya ialah nyawa pesakit itu sendiri.

Apakah yang akan Mempengaruhi Keputusan INR?
Keputusan INR boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor:
Perubahan mendadak dalam gaya hidup dan aktiviti harian boleh menyebabkan bacaan INR menjadi tidak stabil
  1. Ubat-ubatan/suplemen
    • Ubat tahan sakit : Aspirin, Mefenamic Acid, Ibuprofen
    • Ubat antibiotik : Erythromycin, Chloramphenicol, Ciprofloxacin
    • Ubat sawan : Carbamazepine, Phenytoin
    • Vitamin/Suplemen : Vitamin C, E & K, Coenzyme Q10
    • Ubat tradisional/herba : St. John’s Wort, Gingko, Ginseng, Teh hijau, Bawang putih
    Sila rujuk dengan doktor atau ahli farmasi sebelum memulakan sebarang ubat
  2. Pemakanan
    • Perubahan besar dalam corak pemakanan
    • Pengambilan makanan yang mempunyai kandungan Vitamin K yang tinggi : Sayuran hijau seperti sawi, bayam, brokoli, kobis dan lain-lain, produk kacang soya, hati, teh hijau, jus kranberi
    • Pengambilan makanan yang mengandungi Vitamin K yang tinggi perlu diambil secara konsisten
  3. Gaya Hidup
    • Perubahan aktiviti fizikal yang mendadak
    • Pengambilan alkohol
    • Merokok
Kesan Sampingan Yang Mungkin Dialami
  • Pendarahan
  • Lebam (kulit kebiruan)
  • Ruam
  • Loya
  • Muntah
  • Jaundis
Bilakah Rawatan Segera Diperlukan?
Sila berhubung dengan doktor apabila :
  1. Mengalami pendarahan seperti berikut :
    • Pendarahan yang lama dari luka
    • Hidung berdarah
    • Gusi berdarah tidak berhenti selepas 30 minit
    • Batuk dan muntah darah
    • Lebam yang tidak diketahui puncanya
    • Kencing berdarah atau berwarna gelap
    • Najis berwarna gelap atau hitam
    • Kedatangan haid yang luar biasa atau pendarahan faraj
  2. Mendapat tanda-tanda berikut :
    • Sesak nafas
    • Sakit dada
    • Kaki bengkak
*Kesan ini memerlukan anda berjumpa doktor dengan segera
Perkara-Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian
Jangan lupa :
  • Mengambil warfarin seperti yang diarahkan oleh doktor atau ahli farmasi. Jangan gandakan dos hari ini jika terlupa mengambilnya semalam.
  • Melakukan ujian darah seperti yang diarahkan.
  • Memaklumkan kepada doktor dan ahli farmasi mengenai ubat-ubatan, ubat tradisional, herba-herba dan makanan tambahan (suplemen) yang diambil.
  • Mengekalkan tabiat pemakanan sihat dan gaya hidup yang hampir sama setiap hari. Elakkan daripada melakukan perubahan mendadak pada pemakanan dan aktiviti harian.
  • Memberitahu doktor atau ahli farmasi jika anda mengandung atau merancang untuk mengandung.
  • Berjumpa doktor jika sakit atau mengalami luka atau pendarahan yang lebih teruk daripada biasa.
  • Memberitahu doktor/doktor gigi/ahli farmasi bahawa anda sedang dalam rawatan dengan ubat Warfarin.



Back To Top