Maklumat mengenai ubat-ubatan yang biasa diambil seperti kegunaan, cara pengambilan dan kesan-kesan sampingan sekiranya ada.

Powered by Blogger.

Search This Blog

Kekenduran Rahim (Prolapse)

Prolapse rahim adalah satu keadaan di mana rahim jatuh ke bawah dan kadang-kala terkeluar dari saluran faraj. Keadaan ini biasanya disebabkan oleh ligamen dan otot yang biasanya memegang rahim pada kedudukkan asal menjadi lemah akibat dari kehamilan dan kelahiran. Justeru itu rahim seakan-akan melorot ke bawah melalui saluran faraj.

Keadaan ini merangkumi beberapa peringkat, di peringkat awal ia hanya jatuh sedikit daripada kedudukan biasa, peringkat kedua di mana pintu rahim jatuh sampai ke permukaan faraj dan peringkat ketiga yang sangat teruk ialah apabila keseluruhan rahim terkeluar daripada saluran dan permukaan faraj (satu keadaan yang biasa digelar ‘tombong’',

lihat tajuk ‘Pembedahan’) Diantara kesan-kesan kekenduran faraj dan otot rahim adalah seperti berikut.

Gangguan perkencingan.

Ramai wanita yang mengalami masalah kekenduran rahim atau prolapse akan menghadapi masalah perkencingan seperti kerap kencing, sukar hendak mula kencing tetapi apa yang ketara sekali sukar untuk mengawal kencing khususnya apabila ia batuk, bersin ataupun apa apa perbuatan yang menyebabkan tekanan dalam perut meningkat seperti ketawa berdekah-dekah, semput dan ketika hendak berdiri daripada sujud ketika sembahyang, maka air kencing akan keluar dengan sendiri tanpa boleh dikawal. Keadaan ini digelar dengan nama Stress Incontincence dan sangat menyusahkan dan mengganggu tugas harian seseorang wanita khususnya dalam menjalankan amal ibadah seperti sembahyang kerana ia mudah batal daripada wudu’nya.

Gangguan hubungan kelamin

Oleh sebab berlakunya kelonggaran pada faraj khususnya pada otot yang memegang faraj yang biasa digelar dengan nama Pelvic Floor Muscle, maka kekuatannya untuk mencekang atau mengemut dalam proses hubungan seksual mungkin terganggu sedikit. Ini boleh mengurangkan kepuasan dan kenikmatan seks khususnya pada pihak suami. Ramai wanita serta suami mengadu tentang kekurangan nikmat atau kepuasan seks selepas kelahiran bayi dan perkara ini memang berpunca daripada berbagai faktor tetapi diantaranya ialah kekenduran atau kelemahan otot disekeliling faraj.

Ketidakselesaan dan sakit pinggang

Gangguan lain yang boleh timbul akibat daripada prolapse rahim ialah rasa tidak selesa kerana sesuatu benda iaitu rahim terkeluar daripada farajnya. Ini berlaku ketika ia berdiri atau banyak berjalan. Oleh sebab rahim jatuh ia menarik otot dan sering-kali urat di bahagian pinggang juga agak tertarik menyebabkan ramai di antara mereka yang mengadu sakit pinggang.

Gangguan Kesihatan

Dalam kes prolapse yang teruk atau peringkat ketiga di mana keseluruhan rahim terkeluar, seringkali pintu rahim tergesel pada seluar dalam menyebabkan luka atau erosion. Luka ini seringkali dijangkiti kuman menyebabkan keputihan atau pengeluaran lendir yang banyak. Dalam jangka panjang ada juga kes di mana berlaku ketumbuhan akibat daripada pergeresan yang berpanjangan. Malah ada setengah kanser pangkal rahim timbul daripadanya.

Apakah punca punca kejadian prolapse?

Terdapat beberapa faktor yang mungkin menyebabkan terjadinya ‘prolapse’. Di antaranya adalah seperti berikut:

i) Faktor Baka

Setengah wanita akan mengalami masalah ini jika ada di kalangan saudara-mara mereka khususnya ibu, ibu-saudara atau nenek mengalami masalah yang sama. Bagaimana penyakit ini diturunkan tidaklah diketahui, mungkin baka menentukan kelemahan atau kekuatan tisu, otot dan ligamen pada peranakan. Kekenduran atau kelemahan otot dan tisyu ini boleh juga dipengaruhi oleh tahap pemakanan dan tahap kesihatan kita yang agak rendah berbanding dengan mereka yang sihat dan makanannya seimbang dan mencukupi dari segi semua zat seperti protin dan vitamin.

ii) Exercise

Proses kehamilan dan kelahiran memang melemahkan dan melonggarkan tisu-tisu dalam badan khususnya tisu ligamen dan otot yang memegang faraj dan rahim. Ini satu perkara yang tidak dapat dielakkan tetapi pemulihan boleh dicapai walaupun tidak seratus-peratus jika seseorang wanita itu mengamalkan gerak tubuh atau exercise untuk menguatkan otot-otot di sekeliling faraj dan lantai punggung. Amalan exercise waktu hamil dan selepas kelahiran adalah sangat penting untuk mencegah prolapse. Oleh itu kelalaian atau tidak melakukan exercise ini adalah satu daripada faktor yang boleh menyebabkan kekenduran atau prolapse rahim.

iii) Kehamilan dan Kelahiran

Kehamilan dan kelahiran memanglah satu proses yang menyebabkan berlakunya kekenduran atau kelemahan pada semua tisu di sekeliling peranakan khususnya otot lantai punggung yang biasanya memegang faraj dan mendokong rahim. Kelahiran normal atau secara forceps atau vacuum memang dianggap satu kecerderaan yang merosakkan ligamen-ligamen dan otot disekeliling faraj. Sering-kali mereka yang melahirkan di rumah mengalami kekoyakan tetapi tidak dijahit dan ini salah satu faktor yang menimbulkan kelemahan atau kekenduran otot peranakan. Kelahiran yang memakan masa yang lama atau prolonged labour, kelahiran yang sukar yang memerlukan ibu meneran dengan kuat dan begitu lama, kelahiran yang memerlukan kegunaan alat seperti vacuum atau forceps adalah faktor-faktor yang mungkin menyumbangkan kepada berlakunya prolapse di kemudian hari.

iv) Menopaus

Keadaan menopaus atau kekurangan hormon samaada yang berlaku secara natural iaitu ketika umur 50 tahun keatas, ataupun ekoran daripada pembedahan oleh sebab-sebab penyakit yang mana ovari dibuang boleh menyebabkan keadaan kekurangan hormon dan seterusnya menimbulkan kelemahan pada otot dan ligamen peranakan. Proses atrophy atau kekecutan pada tisu, ligamen dan otot dalam jangka panjang akan menyebabkan prolapse. Nyata sekali prolapse yang teruk sering berlaku pada wanita-wanita yang berumur 60 ke atas akibat daripada ketandusan hormon ekoran daripada menopaus. Kegunaan hormon sebagai rawatan menopaus nyata dapat mengurangkan berlakunya prolapse.

v) Tumbuhan Dalam Rahim

Pada wanita yang mengalami tumbuhan seperti fibroid yang tidak menimbulkan masalah lain seperti pendarahan atau kesakitan dan jika berlaku dalam umur empat puluhan ke atas ataupun selepas putus haid apabila otot dan ligamen rahim telah lemah, mempunyai risiko berlakunya prolapse kerana tumbuhan fibroid yang kecil juga merupakan satu tekanan kepada rahim untuk jatuh ke bawah. Tetapi fibroid ini biasanya yang berukuran besarnya adalah sederhana dan tidak melebihi saiz bola golf.

Rawatan dan Pencegahan

Langkah yang terbaik bagi wanita ialah mencegah setelah mengetahui punca atau faktor-faktor yang mungkin menyebabkannya. Di antara langkah-langkah tersebut ialah pertama:

i) Jaga kesihatan dan kawal berat badan

Kegemukan adalah salah satu faktor yang bukan sahaja yang menjadi satu gangguan terhadap kecantikan seseorang wanita, malah ia mempunyai banyak kesan-kesan yang buruk terhadap wanita seperti menyebabkan masalah prolapse di kemudian hari. Oleh itu eloklah jaga berat badan dengan mengawal makanan dan membuat exercise.

ii) Amalan exercise

Amalan untuk menguatkan otot perut dan lantai punggung ketika hamil dan selepas bersalin belum menjadi satu amalan harian di kalangan wanita-wanita Malaysia. Tetapi tabiat ini sering dilakukan oleh wanita wanita Barat khususnya mereka yang terpelajar. Banyak video- video yang memberi panduan tentang kaedah exercise ini dapat di pasaran. Panduan untuk melakukan exercise atau gerak tubuh khas untuk otot lantai punggung juga boleh dipelajari pakar physiotherapist atau juru-pulih anggota di hospital atau di klinik swasta.

Ini sangat penting kerana jika ia dilakukan pada waktu hamil dan selepas bersalin, pemulihan pada bentuk badan status tubuh badan yang asal seperti sebelum hamil akan dapat dicapai dan ia boleh mencegah masalah kegemukan, kekenduran otot perut dan lain lain gangguan yang dikaitkan dengan prolapse rahim. Gerak tubuh ini boleh dilakukan sejurus selepas bersalin, tidak perlu menunggu selepas pantang. Malah dalam pantang adalah waktu yang tepat untuk mencapai pemulihan yang terbaik dengan menentukan makanan yang seimbang, yang berkhasiat, melakukan penyusuan bayi serta melakukan exercise yang tertentu.

iii) Exercise kemut atau 'grip'
Exercise untuk mengemut atau grip adalah bertujuan untuk menguatkan otot lantai punggung, otot sekeliling faraj, otot-otot yang mengawal perkencingan. Cara melakukannya ialah kita bayangkan seperti melakukan persetubuhan dan ketika itu kita menggemut atau mencengkam alat zakar suami. Jika ini dilakukan berulang-ulangkali untuk beberapa saat, misalnya dua tiga minit sekali dalam waktu pantang dan seterusnya menjadi satu tabiat dalam kehidupan seharian. Insya-Allah otot di sekeliling faraj akan menjadi lebih kuat seperti sedia-kala.

Alat PSX
Terdapat satu alat yang digelar dengan nama PSX, (lihat dalam gambar ini dibawah) yang bertujuan untuk membantu wanita melakukan exercise ini. Pada asasnya alat ini mengandungi bahagian yang berbentuk seperti zakar yang dimasukkan ke dalam faraj ketika sebelum melakukan exercise dan eloknya ia disarungkan dengan kondom ataupun jika tidak berkongsi dengan orang-orang lain tidaklah perlu menyarongkan dengan kondom tetapi perlu menggunakan pelincir seperti K.Y. Jelly untuk memasukkan ke dalam saluran faraj. Seterusnya ia juga mempunyai satu alat meter bagi mengukur kekuatan kemutannya. Setelah memasukkan alat tersebut dalam faraj, kemutan dilakukan dan ia boleh melihat kekuatan kemutan tersebut daripada meter. Kemutan dilakukan berulang-ulang dan dari ukuran tekanan pada meter alat tersebut, seseorang wanita akan dapat menilai kekuatan otot faraj. Jika amalan ini dilakukan selalu, Insya-Allah kekuatan otot faraj dan lantai punggung akan pulih seperti sedia-kala dan seterusnya dapat mengelakkan dari pembedahan.

Alat PSX

Pembedahan

Berbagai jenis pembedahan yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah kekenduran faraj dan prolapse. Di antaranya ialah pembedahan untuk membuang rahim serta membetulkan saluran faraj atau vaginal repair (Vaginal Hysterectomy and Repair – lihat tajuk ‘Pembedahan’). Pembedahan ini dilakukan dalam kes-kes yang teruk ‘prolapse'nya dan di kalangan wanita yang telah meningkat umur.

Tetapi bagi mereka yang lebih muda dan masih bercadang untuk meneruskan zuriatnya, kekenduran faraj boleh diatasi dengan pembedahan hanya untuk menguatkan atau membetulkan saluran faraj (vaginal repair). Ini pun hanya dilakukan jika lain-lain usaha seperti exercise atau ‘physiotherapy’ dan penggunaan alat PSX telah gagal mengatasi masalahnya.

Pembedahan juga kadang-kala dilakukan ke atas wanita yang tidak dapat mengawal kencing. Biasanya ini dilakukan bersama dengan vaginal repair, tetapi kadang-kala jika ini gagal dan masalah stress incontinence atau kencing yang tidak terkawal masih berlaku, pembedahan melalui perut atau di bahagian ari-ari mungkin perlu dilakukan untuk menjahit otot di permukaan pundi kencing.

Pembedahan adalah satu jalan terakhir jika usaha-usaha lain yang dilakukan menerusi exercise, kegunaan alat PSX atau kaedah rangsangan elektrik pada otot dan lantai punggung telah dibuktikan gagal.

Kegunaan Pessary

Bagi wanita yang berumur dan mengalami masalah prolapse yang teruk dan tidak sesuai menjalani pembedahan khususnya tidak sesuai menerima bius, maka cara yang lain ialah untuk menggunakan satu alat yang dimasukkan ke dalam faraj. Alat ini digelar dengan nama ‘Ring pessary’. Alat ini boleh mencegah rahim daripada jatuh ke bawah. Wanita yang menggunakan pessary perlu menjaga kebersihan faraj untuk mencegah jangkitan kuman, biasanya pemeriksaan perlu dilakukan antara tiga hingga enam bulan sekali.

Sumber artikel: http://www.hamidarshat.com/

Berkenaan penulis:
Dato' Dr. Hamid Arshat antara pakar sakit puan melayu yang terawal sekali muncul di persada perubatan Malaysia.Beliau merupakan sumber rujukan orang-ramai untuk masalah kesuburan. Doktor yang sempat saya berkenalan rapat ini seorang yang peramah bersama pesakitnya, bersifat sangat penyabar, tetapi berperibadian tegas dan berprinsip. Maklumat lanjut sila [ klik disini ]
Labels: Kelainan Rahim Vagina Ovari

Thanks for reading Kekenduran Rahim (Prolapse). Please share...!

Back To Top