Maklumat mengenai ubat-ubatan yang biasa diambil seperti kegunaan, cara pengambilan dan kesan-kesan sampingan sekiranya ada.

Powered by Blogger.

Search This Blog

Faedah Dan Kesan Sampingan Ubat Statin

Faedah Dan Kesan Sampingan Ubat Statin 

Di Malaysia, golongan warga emas ditakrifkan sebagai penduduk yang berumur 60 tahun ke atas. Oleh yang demikian, mereka tergolong dalam kelompok yang paling berisiko untuk mendapat serangan penyakit yang memerlukan rawatan jangkamasa panjang. Selain daripada penyakit darah tinggi dan kencing manis, peningkatan paras kolesterol dalam darah juga merupakan penyakit kronik yang biasa dihidapi oleh warga emas pada masa kini.

Ubat yang biasanya dipreskib oleh doktor bagi merawat masalah ini ialah statin. Namun begitu, sebelum terapi ubat diberikan kepada pesakit, doktor akan menasihatkan pesakit untuk mengamalkan cara hidup yang lebih sihat, antaranya termasuklah pengambilan makanan yang seimbang, mengurangkan berat badan, melakukan aktiviti fizikal dan senaman, tidak merokok dan tidak mengambil minuman beralkohol.

Jenis-jenis Statin
Statin adalah ubat yang dipreskripsikan oleh doktor untuk menurunkan paras kolesterol dalam darah. Ia bertindak secara menghalang enzim yang menghasilkan kolesterol. Formulasi statin yang terdapat di pasaran antaranya termasuklah :


Nama ubat
Dos
Lovastatin20 – 80mg
Pravastatin20 – 40mg
Simvastatin20 – 80mg
Atorvastatin10 – 80mg
Fluvastatin20 – 80mg
Rosuvastatin10 – 40mg


Faedah ubat statin dalam kalangan warga emas

Ubat statin bertindak dengan mengurangkan penghasilan kolesterol ‘jahat’ yang juga dikenali sebagai “low density lipoprotein (LDL)” dan meningkatkan kolesterol ‘baik’ iaitu “high density lipoprotein (HDL) di dalam darah. Jika tidak dirawat, kolesterol tinggi boleh menyumbang kepada pembentukan plak dalam arteri dan menyebabkan atherosklerosis. Keadaan ini adalah serius dan boleh menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa, antaranya termasuklah sakit dada (angina), serangan jantung atau angin ahmar (stroke).

Ia juga dapat mengelakkan prosedur untuk memperbaiki pengaliran darah ke jantung, umpamanya “angioplasty” belon ataupun pembedahan “bypass” jantung. Walaubagaimanapun, pemulaan pengambilan ubat statin oleh seseorang pesakit ditentukan oleh doktor berdasarkan tahap kesihatan serta paras kolesterol di dalam darah pesakit.

Kesan sampingan ubat statin dalam kalangan warga emas
Seperti kebanyakan ubat lain, ubat statin juga boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan. Kesan sampingan yang biasa dialami oleh pesakit, antaranya adalah sakit kepala, sembelit, gatal dan keletihan yang biasanya akan reda setelah tubuh menyesuaikan diri. Pesakit juga boleh mengalami peningkatan enzim hati yang disebabkan oleh pengambilan ubat statin dengan dos yang tinggi. Oleh itu, pesakit perlu menjalani ujian makmal secara berkala bagi memastikan fungsi hati berada dalam keadaan yang baik. Jika ujian makmal menunjukkan terdapat perubahan dalam fungsi hati, pertukaran dos atau ubat perlu dilakukan oleh doktor yang merawat pesakit tersebut.

Selain itu pesakit juga akan mengalami rasa sakit, keletihan atau lemah otot. Kesakitan pada otot boleh menjadi kesakitan yang ringan atau teruk sehingga mengganggu aktiviti harian. Sebagai contoh, pesakit mungkin mengalami rasa sakit ketika menaiki tangga atau berjalan kaki.

Jarang sekali kita dengar kesan sampingan ubat statin yang boleh mengancam nyawa akibat kerosakan otot seperti rhabdomyolysis yang menyebabkan kerosakan hati, kegagalan fungsi buah pinggang dan kematian. Rhabdomyolisis ini boleh berlaku apabila pesakit mengambil ubat statin dengan kombinasi ubat-ubat tertentu atau pesakit mengambil ubat statin dengan dos yang tinggi.

Pengurusan kesan sampingan
Hubungi doktor atau ahli farmasi dengan segera sekiranya mengalami sakit otot, otot terasa sakit apabila disentuh atau lemah otot. Ini kerana walaupun jarang berlaku, namun masalah otot pernah menjadi serius, seperti kemerosotan otot yang mengakibatkan kerosakan ginjal buah pinggang lalu membawa maut. Risiko berlakunya kemerosotan otot ini lebih besar bagi pesakit yang mengambil ubat statin dalam dos yang tinggi serta dikalangan pesakit warga emas (berusia 60 tahun ke atas) yang mengambil ubat statin, pesakit wanita, pesakit yang mempunyai masalah fungsi buah pinggang dan pesakit yang menghidapi masalah tiroid.

Selalulah berjumpa doktor untuk memeriksa paras kolesterol dalam darah dan untuk mengesan kesan sampingan. Doktor harus melakukan ujian darah bagi pemeriksaan fungsi hati seseorang pesakit sebelum pesakit mula mengambil ubat statin dan jika pesakit mengalami sebarang simptom masalah hati semasa pengambilan ubat statin.

Kesan sampingan lain juga mungkin boleh berlaku. Oleh itu pesakit perlu memaklumkan kepada doktor atau ahli farmasi sekiranya mengalami gejala yang luarbiasa dan berlarutan selepas mengambil ubat statin.

Maklumat khas
Ubat statin hendaklah diambil pada waktu malam. Sekiranya terlupa mengambil ubat pada waktu yang sepatutnya, abaikan dos tersebut dan jangan gandakan dos. Ubat statin ini hendaklah diambil seperti yang diarahkan oleh doktor dan jangan berhentikan pengambilannya tanpa merujuk kepada doktor terlebih dahulu.

Keberkesanan pengambilan ubat statin adalah berbeza bagi setiap individu. Kepatuhan dalam pengambilan ubat ini amat penting bagi mencapai sasaran rawatan. Selain daripada pengambilan ubat statin, pesakit juga perlu mengamalkan perkara-perkara berikut bagi meningkatkan keberkesanan rawatan:

Mengambil makananan yang seimbang dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Kerap melakukan senaman
Berhenti merokok
Mengurangkan dan menghentikan pengambilan alkohol
Labels: Faedah Dan Kesan Sampingan Ubat Statin, Ubat Sakit Tekak Bio Emas

Thanks for reading Faedah Dan Kesan Sampingan Ubat Statin . Please share...!

Back To Top