Maklumat mengenai ubat-ubatan yang biasa diambil seperti kegunaan, cara pengambilan dan kesan-kesan sampingan sekiranya ada.

Powered by Blogger.

Search This Blog

Warfarin Ubat Cair Darah

Warfarin digunakan untuk menghalang pembentukan darah beku dan menghalang darah beku sedia ada daripada menjadi semakin besar. Ia dipreskripsikan oleh pegawai perubatan untuk pesakit yang mempunyai masalah atau risiko berlakunya pembekuan darah tidak normal. Antara indikasi warfarin ialah :

Atrial Fibrillation – degupan jantung tidak teratur
Heart valve replacement – gentian injap jantung
Deep vein thrombosis – darah beku di kaki
Pulmonary embolism – darah beku di paru-paru

Setiap indikasi di atas mempunyai julat selamat INR yang berbeza.
Bagaimana Warfarin Bertindak dalam Badan?
Dalam keadaan normal, darah manusia mengandungi vitamin K yang membantu pembekuan darah dan menghalang pendarahan daripada terus berlaku. Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu darah yang beku akan begerak ke organ-organ penting seperti jantung, paru-paru dan otak yang boleh menyebabkan salur darah tersumbat lalu mengakibatkan serangan jantung dan angin ahmar. Oleh itu penggunaan warfarin dapat membantu menghalang kesan vitamin K dalam darah seterusnya mengelakkan darah beku menjadi lebih besar.
Apakah International Normalised Ratio (INR)?
Bacaan INR menerangkan kadar berlakunya pembekuan darah dalam badan. Dos Warfarin bergantung kepada sasaran INR yang dikehendaki supaya berada dalam julat yang disyorkan. Kebiasaannya julat INR yang dikehendaki adalah antara 2.0 hingga 3.0. Ujian darah perlu dilakukan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh rawatan bagi memantau bacaan INR.
alt
MEMAHAMI INR DAN FUNGSINYA

INR yang dipantau sangat berkait rapat dengan diet dan ubat-ubatan lain yang diambil bersama warfarin. Pesakit perlu menjalani ujian darah bagi mengetahui bacaan INR. Nombor INR yang lebih tinggi menunjukkan masa yang lebih lama diperlukan untuk darah membeku. Ia menyebabkan risiko berdarah lebih tinggi kepada pesakit. Manakala nombor INR yang rendah membawa maksud sebaliknya. Cabaran kepada pesakit warfarin diakui kerana sekiranya INR yang dipantau melebihi julat selamat, pesakit perlu hadir dalam tempoh seminggu atau dua minggu untuk pemantauan lanjut melalui ujian darah. Ia melibatkan kos perjalanan ulang-alik ke fasiliti kesihatan dan juga masa yang diambil oleh ahli keluarga pesakit yang menemani ke hospital. Bagi pesakit yang didapati ujian INR nya terlampau tinggi, pesakit akan dimasukkan ke hospital dengan segera.

BUKU RAWATAN ANTIKOAGULASI (WARFARIN) SEBAGAI PANDUAN

Pesakit yang dipreskripsi dengan warfarin akan diberikan kaunseling lengkap sebelum dibenarkan pulang. Buku antikoagulan turut dibekalkan sebagai panduan pesakit dan keluarga sepanjang tempoh rawatan. Ia bukanlah untuk menyukarkan hidup pesakit tetapi bagi memberikan pengetahuan kepada pesakit bahawa pengambilan ubat ini tidak boleh diambil ringan. Risiko terbesar iaitu strok dan kematian adalah tinggi sekiranya pematuhan ubat ini tidak diikuti.

Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Bahagian Perkhidmatan Farmasi (BPF) telah mengeluarkan panduan lengkap kepada pesakit iaitu Buku Rawatan Antikoagulasi (Warfarin). Ia bertujuan bagi membantu pesakit memahami keperluan dalam memastikan dos warfarin berada dalam julat selamat.

Salinan buku panduan dengan saiz poket ini boleh dimuat turun melalui laman web rasmi BPF : http://www.pharmacy.gov.my

Oleh yang demikian, amat penting bagi pesakit untuk memahami fungsi ubat ini dan mengikuti panduan pemakanan yang diberikan oleh anggota kesihatan. Elakkan pengambilan produk kesihatan sewenang-wenangnya tanpa pengawasan pegawai perubatan atau pegawai farmasi kerana kosnya ialah nyawa pesakit itu sendiri.

Apakah yang akan Mempengaruhi Keputusan INR?
Keputusan INR boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor:
Perubahan mendadak dalam gaya hidup dan aktiviti harian boleh menyebabkan bacaan INR menjadi tidak stabil
  1. Ubat-ubatan/suplemen
    • Ubat tahan sakit : Aspirin, Mefenamic Acid, Ibuprofen
    • Ubat antibiotik : Erythromycin, Chloramphenicol, Ciprofloxacin
    • Ubat sawan : Carbamazepine, Phenytoin
    • Vitamin/Suplemen : Vitamin C, E & K, Coenzyme Q10
    • Ubat tradisional/herba : St. John’s Wort, Gingko, Ginseng, Teh hijau, Bawang putih
    Sila rujuk dengan doktor atau ahli farmasi sebelum memulakan sebarang ubat
  2. Pemakanan
    • Perubahan besar dalam corak pemakanan
    • Pengambilan makanan yang mempunyai kandungan Vitamin K yang tinggi : Sayuran hijau seperti sawi, bayam, brokoli, kobis dan lain-lain, produk kacang soya, hati, teh hijau, jus kranberi
    • Pengambilan makanan yang mengandungi Vitamin K yang tinggi perlu diambil secara konsisten
  3. Gaya Hidup
    • Perubahan aktiviti fizikal yang mendadak
    • Pengambilan alkohol
    • Merokok
Kesan Sampingan Yang Mungkin Dialami
  • Pendarahan
  • Lebam (kulit kebiruan)
  • Ruam
  • Loya
  • Muntah
  • Jaundis
Bilakah Rawatan Segera Diperlukan?
Sila berhubung dengan doktor apabila :
  1. Mengalami pendarahan seperti berikut :
    • Pendarahan yang lama dari luka
    • Hidung berdarah
    • Gusi berdarah tidak berhenti selepas 30 minit
    • Batuk dan muntah darah
    • Lebam yang tidak diketahui puncanya
    • Kencing berdarah atau berwarna gelap
    • Najis berwarna gelap atau hitam
    • Kedatangan haid yang luar biasa atau pendarahan faraj
  2. Mendapat tanda-tanda berikut :
    • Sesak nafas
    • Sakit dada
    • Kaki bengkak
*Kesan ini memerlukan anda berjumpa doktor dengan segera
Perkara-Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian
Jangan lupa :
  • Mengambil warfarin seperti yang diarahkan oleh doktor atau ahli farmasi. Jangan gandakan dos hari ini jika terlupa mengambilnya semalam.
  • Melakukan ujian darah seperti yang diarahkan.
  • Memaklumkan kepada doktor dan ahli farmasi mengenai ubat-ubatan, ubat tradisional, herba-herba dan makanan tambahan (suplemen) yang diambil.
  • Mengekalkan tabiat pemakanan sihat dan gaya hidup yang hampir sama setiap hari. Elakkan daripada melakukan perubahan mendadak pada pemakanan dan aktiviti harian.
  • Memberitahu doktor atau ahli farmasi jika anda mengandung atau merancang untuk mengandung.
  • Berjumpa doktor jika sakit atau mengalami luka atau pendarahan yang lebih teruk daripada biasa.
  • Memberitahu doktor/doktor gigi/ahli farmasi bahawa anda sedang dalam rawatan dengan ubat Warfarin.



Labels: darah beku, ubat cair darah, Warfarin Bertindak dalam Badan, Warfarin menghalang darah beku

Thanks for reading Warfarin Ubat Cair Darah. Please share...!

Back To Top